Sunday, March 26, 2017

REMAJA LARI DARI RUMAH

     Pada masa ini, kes remaja lari dari rumah kerap berlaku dan masalah ini bukan sahaja melibatkan remaja lelaki malah remaja perempuan daripada pelbagai kaum. Kes seperti ini jika dibiarkan akan membawa kesan buruk kepada negara dan masyarakat. Ibu bapa yang mempunyai anak yang masih remaja tentunya risau kalau-kalau masalah itu akan menimpa mereka. Maka, demi mengelakkan masalah ini berterusan, punca yang menyebabkan gejala ini haruslah dikenalpasti dan cuba untuk diatasi sedapat yang mungkin.

     Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan statistik pada 2010 yang menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat sebanyak 4,097 remaja terbabit dengan kegiatan ini seawal usia 13 hingga 17 tahun. Difahamkan, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kebanyakan kes ini membabitkan remaja.

     Selain itu, remaja berumur 14 hingga 17 tahun adalah golongan yang paling banyak dilaporkan hilang di negara ini. Remaja perempuan kaum Melayu pula mencatatkan statistik tertinggi hilang berbanding kaum lain, tetapi kelompok itu juga tersenarai dalam kadar tertinggi mangsa yang mudah dijumpai semula.

     Berdasarkan statistik Jabatan Pengurusan, Cawangan Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, secara kiraan rawak, dua daripada tiga laporan kes orang hilang membabitkan wanita.

Punca-punca Remaja Lari Dari Rumah

Hubungan kekeluargaan yang kurang baik

Masyarakat kini lebih bersifat materialistik. Kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga tidak mempunyai masa yang cukup untuk diluangkan bersama anak-anak. Apabila pulang daripada bekerja, mereka sudah terlalu letih dan tidak dapat melayani karenah anak-anak mereka. Ini menyebabkan anak-anak berasa tidak dipedulikan malah ada diantara mereka yang tinggal di rumah tanpa pengawasan daripada ahli keluarga yang lebih tua. Lebih buruk lagi apabila ibu bapa sering menghadapi konflik dan anak pula dijadikan mangsa melepaskan geram. Akibatnya, anak tersebut lari daripada rumah dengan pendapat bahawa tindakan mereka itu boleh mendapatkan perhatian daripada ibu bapa mereka.

Pengaruh rakan sebaya

Golongan remaja lebih selesa dan lebih banyak bergaul dengan rakan sebaya berbanding dengan ibu bapa ataupun adik-beradik sendiri. Oleh itu, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap seseorang remaja. Jika seseorang remaja bergaul dengan rakan sebaya yang secara kebetulan telah lari dari rumah, kemungkinan besar dia juga akan menjejaki langkah rakannya itu. Kejadian ini berlaku apabila remaja berpendapat bahawa lari dari rumah dan tinggal sendirian adalah lebih bebas dan menyeronokkan tanpa pengawasan ibu bapa. Sesetengah remaja yang lari dari rumah juga adalah atas sebab menyahut cabaran rakan mereka untuk berbuat demikian demi mendapat pengiktirafan sebagai anggota kumpulan mereka.

Remaja terjebak dalam kes jenayah

Keterlibatan dalam sesuatu kes jenayah juga boleh mendorong seeorang remaja untuk lari dari rumah kerana malu dan takut diketahui oleh keluarga tentang kegiatan salah laku serius yang mereka terlibat. Misalnya gadis remaja yang suka berpelisiran mudah tertipu oleh pihak tertentu yang suka mengambil kesempatan seperti melibatkan gadis tersebut dalam kancah maksiat, iaitu pelacuran.

Lari dari rumah untuk mengikuti seseorang

Dunia remaja penuh dengan dan ramai remaja masa kini terlalu mengikuti perasaan mereka. Akibat perhubungan bebas antara lelaki dan perempuan, ramai antara mereka yang menjalani alam percintaan pada usia yang terlalu muda. Masalah akan timbul apabila mereka ingin berkahwin, tetapi tidak direstui oleh ibu bapa lalu merajuk dan mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Di samping itu, ada juga gadis yang lari dari rumah kerana terpengaruh dengan janji manis daripada pihak tertentu yang hanya ingin memperdayakan mereka.

Cadangan Menangani Isu Remaja Lari Dari Rumah

Ibu bapa meluangkan masa untuk anak-anak mereka

Anak-anak memerlukan perhatian penuh daripada ibu bapa memandangkan ibu bapa merupakan insan yang terdekat untuk membimbing anak-anak. Oleh itu, ibu bapa peru peka akan masalah yang dihadapi oleh anak mereka dan sentiasa bersedia untuk mendengar masalah yang dihadapi oleh anakk-anak mereka sendiri. Ini adalah untuk mengelakkan anak-anak mereka mencari tempat yang salah untuk meluahkan perasaan mereka apabila mereka dibelenggu oleh sesebuah masalah, tidak kira sekecil manapun masalah tersebut.

Menangani masalah sosial

Remaja lebih tertarik kepada media massa daripada menghadiri kelas-kelas atau persatuan untuk mendapatkan sesuatu info. Maka, pihak media massa perlu mengakses dan menapis segala rancangan yang hendak disiarkan. Contohnya adegan-adegan ganas dan berunsur lucah yang mempengaruhi minda remaja perlu dielakkan sama sekali. Oleh itu, pengaruh-pengaruh negatif dapat dihindari oleh para remaja daripada terpengaruh dan merosakkan minda. Para remaja perlu diterapkan nilai-nilai murni kerohanian baik agar tidak mudah terpesong ke arah kehidupan yang negatif. Ibu bapa turut harus peka akan isu gejala sosial yang berlaku di sekitar mereka dan berusaha untuk memastikan anak-anak mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah bagi mengelakkan keterlibatan mereka dalam kegiatan yang negatif.

Didikan Agama

Kesedaran dalaman perlu ada dalam diri ibubapa untuk mengatasi masalah sosial. Ibubapa perlu memainkan peranan yang aktif untuk memastikan anak-anak mereka mendapat didikan agama yang sempurna. Terdapat segelintir ibubapa yang beranggapan bahawa bidang kerohanian tidak penting. Ibubapa perlu menerapkan ajaran-ajaran agama sejak kecil lagi seperti mengajar ngaji, solat dan menerapkan sifat peribadi yang mulia. Oleh itu, agama yang sempurna perlu diberikan kepada anak-anak mereka agar dapat melahirkan remaja yang bermodal insaniah. Maka, ibubapa sendiri haruslah mempunyai pegangan agama yang kukuh untuk dijadikan contoh kepada anak-anak.

PEMERDAGANGAN MANUSIA

     Kegiatan pemerdagangan manusia melibatkan tindakan merekrut, memindah, menyimpan manusia dengan tujuan untuk melakukan eksploitasi tertentu seperti menjadikan mangsa perdagangan sebagai pelacur, menjual organ manusia yang didagangkan, dijadikan hamba abdi atau buruh paksa. Tindakan ini dilakukan dengan ugutan dan kekerasan, penipuan atau melalui salah guna kuasa.

     Pemerdagangan manusia boleh berlaku  dalam sesebuah negara atau merentai sempadan antarabangsa. Pada kebiasaannya, kanak-kanak dan kaum wanita yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia ini, dan tidak dinafikan juga bahawa orang-orang dewasa dan kaum lelaki turut menjadi mangsanya.

Mereka yang menjadi mangsa kepada kegiatan pemerdagangan manusia ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori ;

Buruh hutang (Bonded Labour)

Mangsa pemerdagangan manusia terikat kepada jumlah hutangnya. Mereka dikerah untuk menjelaskan hutang yang yang pernah mereka lakukan, namun syarat-syarat hutang mereka tidak dinyatakan dengan jelas.  Maka, kerja-kerja yang dilakukan oleh bonded labour ini biasanya melebihi daripada jumlah hutang mereka dan akan terus bekerja untuk suatu jangka masa yang panjang.

Buruh kanak-kanak

Kanak-kanak dan remaja yang berumur diantara 5 hingga 17 tahun terlibat dalam buruh hutang, buruh paksa, dipaksa  terlibat dalam konflik bersenjata, pelacuran, pornografi, perdagangan dadah secara haram, perdagangan senjata api secara haram, dan aktiviti-aktiviti lain secara tidak sah di seluruh dunia.

Perdagangan manusia untuk tujuan seks

Wanita dan kanak-kanak yang didagangkan dijanjikan pekerjaan dalam sektor-sektor yang sah sama ada sebagai pekerja domestik / sektor perkhidmatan. Malangnya, nasib mereka berakhir dengan menjadi pekerja-pekerja seks di rumah pelacuran. Pasport dan dokumen pengenalan diri dirampas untuk mengelakkan mereka melarikan diri. Mereka hanya akan dibebaskan setelah berjaya menjelaskan jumlah harga belian mereka daripada pihak yang menjual mereka. Golongan yang biasanya menjadi mangsa untuk tujuan seks ialah remaja yang melarikan diri, manusia tanpa tempat kediaman (homeless person), pelarian, pencari pekerjaan, pelancong, mangsa culik, dan penagih dadah.

Punca Pemerdagangan Manusia
Kemiskinan

Kawasan kemiskinan sering berlaku ledakan pertambahan penduduk. Bila penduduk ramai , jumlah mencari peluang juga banyak. Di kawasan kemiskinan yang tinggi , Ahli keluarga dijadikan cagaran semasa membuat pinjaman wang. Kedaifan turut menyababkan ibubapa menjual anak-anak mereka kepada brooker. Brooker menjanjikan masa depan yang baik kepada anak-anak mereka. Dengan itu , keluarga miskin sanggup menjual anak-anak mereka dengan harapan anak-anak mereka mempunyai masa depan yang lebih baik daripada kehidupan asal. Namun demikian kanak-kanak perempuan akhirnya menjalankan kerja-kerja domestik atau pelacur. Manakala lelaki dijual sebagai buruh-buruh pertanian di ladang-ladang atau sebagai nelayan.

Fenomena Globalisasi

Globalisasi seolah-olah berperanan sebagai ‘pengiklan tanpa sempadan’ untuk kegiatan pemerdagangan manusia. Beberapa laman web boleh digunakan untuk merekrut, memasarkan dan mengeksplotasi mangsa-mangsa perdagangan. Internet juga merupakan fasiliti terpenting dalam perdagangan seks komersial. Kumpulan-kumpulan jenayah terancang boleh memperdagangkan wanita sebagai pekerja seks melalui internet.

KEGANASAN RUMAH TANGGA


          Keganasan Rumah Tangga pada umumnya membawa maksud apa sahaja perbuatan yang mengakibatkan kesengsaraan ataupun penderitaan secara fizikal, seksual dan/atau psikologi. Hal ini termasuklah ancaman atau ugutan untuk melakukan paksaan dan rampasan kebebasan dalam kehidupan berumah tangga.


Biasanya, isu keganasan dalam rumah tangga melibatkan wanita sebagai sebagai mangsa keganasan. Bagi sesetengah masyarakat, kejadian keganasan rumah tangga terhadap suami atau kaum lelaki adalah perkara yang terlalu asing. Ini adalah kerana jarang-jarang didengar atau dilaporkan di media massa bahawa seorang suami telah didera  oleh isteri meraka. Penderaan terhadap suami juga dianggap bahan jenaka jka diperkatakan secara umum.

 Apabila melihat kepada kes kejadian penderaan terhadap suami di Malaysia, jumlah kes penderaan terhadap suami yang dilaporkan adalah dalam bilangan yang kecil. Ini tidak bermakna isu bekenaan tidak serius. Umumnya, penderaaan terhadap suami merupakan sama seperti penderaan terhadap isteri. Ini membawa maksud bahawa, seseorang suami itu dikatakan telah didera jika isteri mengenakan kecedaarn fizikal, psikologi atau seksual pada dirinya.
Bentuk-bentuk Keganasan Rumah Tangga adalah dari segi:

Fizikal
Memukul, menumbuk, menampar, menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang, membaling barang dan menggunakan senjata. Menghalang keperluan manusia seperti makan, minum dan tidur juga satu bentuk penderaan fizikal.

Psikologi
Perbuatan yang menyebabkan penderaan psikologi yang termasuklah kecederaan emosi kepada mangsa dan menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan. Ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah seseorang boleh membahayakan nilai harga diri dan perasaan serta keupayaan mangsa mengawal kehidupan sendiri juga merupakan penderaan psikologi.

Seksual
Memaksa melakukan atau melihat sesuatu berbentuk seksual tanpa kemahuan.

Ekonomi
Seorang yang dihalang daripada mencari pekerjaan atau yang tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri sebenarnya menghadapi penderaan daripada aspek kewangan.

Mangsa keganasan rumah tangga biasanya terdiri daripada orang-orang  yang telah dewasa dan  dianggap sudah mampu menilai secara kritikal untuk membuat keputusan dalam hidupnya. Tambahan pula, dari sudut psikologi mangsa keganasan rumah tangga akan menjadi lebih tertekan apabila wujud pihak yang melaporkan kejadian yang berlaku ke atasnya tanpa pengetahuannya.

Keganasan rumah tangga adalah berbeza daripada kes penderaan kanak-kanak kerana mangsa penderaan kanak-kanak ialah golongan yang masih tidak mampu berfikir secara kritikal untuk membuat keputusan dan mereka kurang arif tentang perilaku jenayah.

TEORI KITARAN KEGANASAN RUMAH TANGGA



Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah keganasan rumah tangga di seluruh negara yang dilaporkan dari Januari hingga April 2015 adalah sebanyak 1,644 kes (dipetik dari Borneo Post Online, Arkib 16 Jun 2015). Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa negara kita tidak terkecuali dalam isu ini. Berikut adalah punca berlakunya kes ini:

PUNCA ISU KEGANASAN RUMAH TANGGA

1. Keengganan membuat laporan.
Mangsa tidak melaporkan kes keganasan yang berlaku atas alasan sayang akan rumah tangga,
takut dan risau akan kesan terhadap anak-anak. Bagi masyarakat sekeliling pula, mereka tidak 
mahu masuk campur dan menganggap bahawa hal tersebut merupakan urusan peribadi keluarga 
masing-masing.

2. Sikap panas baran yang melampau
Isteri/suami mudah panas baran manakala suami/isteri pula tidak dapat memenuhi kemahuan
pasangan. Keegoan yang tinggi ini menyebabkan isteri/suami sering memandang rendah terhadap
pasangan mereka dan mudah mengamuk apabila tidak mampu memiliki apa yang dilihat dan
dimiliki oleh orang lain.

3. Hubungan rumah tangga yang kurang bahagia
Hubungan dan persefahaman diantara suami dan isteri yang kurang turut menyebabkan isu
keganasan ini, apatah lagi wujudnya isu cinta tiga segi, cemburu buta dan menerima hasutan
daripada orang ketiga. Selain itu, isu ini mudah tercetus sekiranya rumah tangga yang dibina
adalah atas dasar kahwin paksa semata-mata, iaitu perkahwinan yang bukan berdasarkan agama
dan kasih sayang.

4. Masalah individu yang mengalami tekanan dalam hidupnya
Keadaan ekonomi pada masa kini yang sering berubah-ubah menyebabkan kebanyakan keluarga
mengalami kesempitan wang. Kesukaran ahli keluarga untuk mencari pekerjaan demi menanggung
keperluan kewangan turut menyebabkan tekanan yang melampau. Akibatnya, keluarga ini
mengalami kesukaran dalam memenuhi kedua-dua keperluan dan kemahuan bagi setiap ahli
keluarga.

5. Gaya hidup tidak sihat si suami / isteri
Pasangan hidup yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral seperti judi, penagihan dadah, kekasih
gelap dan pelacuran akan hilang pertimbangan sebagai akibat daripada kegiatan negatif terssebut.
Misalnya, pasangan menjadi mabuk lalu bertindak memukul isteri, suami ataupun isi rumah yang
lain.

CADANGAN MENANGANI ISU KEGANASAN RUMAH TANGGA

1) Mendapatkan khidmat nasihat
Mangsa keganasan rumah tangga boleh menghubungi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW Unit
Kaunseling) untuk mendapatkan khidmat nasihat. Selain itu, mangsa-mangsa ini juga boleh
mendapatkan bantuan daripada orang ketiga dalam kalangan keluarga seperti ibu bapa. Hal ini
kerana orang lain tidak mungkin akan dapat membantu mangsa sekiranya mangsa memilih untuk
memendam rasa dan berdiam diri.

2) Bertindak menyelamatkan diri
Mangsa harus menyelamatkan diri secepat mungkin apabila masalah rumah tangga yang dialami
menjadi semakin serius seperti berlaku kecederaan. Mangsa perlu mendapatkan bantuan rawatan
perubatan di Jabatan Kecemasan dan Kemalangan di hospital-hospital kerajaan. Seterusnya,
mangsa perlu melaporkan kes keganasan di balai polis untuk mendapatkan nombor laporan polis,
lalu membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan Perintah
Pelindungan Interim (IPO). IPO berkuatkuasaa untuk melindungi mangsa-mangsa seperti ini.

3) Memastikan seisi keluarga mengamalkan gaya hidup yang sihat
Suami dan isteri pada asasnya perlu memastikan diri dan pasangan masing-masing tidak terlibat
dalam perjudian, pengambilan dadah dan sebagainya untuk memastikan keluarga yang sihat dan
bahagia bersama-sama. Oleh itu, suami dan isteri sebagai ibu bapa perlu saling mendorong untuk
menjaga kesihatan diri dan anak-anak yang bakal ditimang.

CADANGAN MENCEGAH ISU KEGANASAN RUMAH TANGGA

1) Memilih isteri / suami yang tepat
Seseorang itu haruslah berfikir dengan semasak-masaknya sebelum memilih pasangan hidup
mereka. Hal ini demikian kerana pasangan hidup adalah orang yang akan menemani kita untuk
menjalani kehidupan sehingga ke hari tua. Kita bebas memilih pasangan hidup kita masing-
masing, maka kita harus memilih berdasarkan kualiti-kualiti yang baik yang ada pada seseorang, 
bukan sekadar menilai dari segi paras rupa ataupun kebendaan yang dimilikinya. 

2) Berbincang dengan bakal pasangan hidup
Pasangan yang ingin berumah tangga hendaklah melakukan perancangan yang rapi dari segi
pelaksanaan tugas dan tanggungjawab secara adil, misalnya dari segi pengurusan kewangan
keluarga dan keperluan rumah tangga yang harus dipennuhi. Pasangan ini juga harus sedia untuk
berkorban bersama untuk membesarkan anak-anak mereka. Sekiranya terdapat masalah yang
dihadapi, kedua-dua pasangan haruslah bijak untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian
bagi sesuatu masalah tersebut.

Tuesday, March 21, 2017

PENAGIHAN DADAH

Pengenalan
Penagihan dan pergantungan terhadap dadah ialah satu masalah serius yang kini melanda segenap lapisan manusia di dunia. Setiap tahun, peningkatan penagihan dadah menunjukkan seperti kita telah pun tewas kerana usaha-usaha memerangi gejala ini berhadapan dengan dugaan dan cabaran yang begitu besar sekali.

Definisi
Dadah atau ‘Drug’ dalam bahasa Inggeris diertikan sebagai ubat-ubatan. Perkara penting mengenai dadah ialah ianya selalu di salah guna atau ‘misuse’ dan ‘abuse’. Selain itu, dadah juga bermaksud bahan yang digunakan untuk merawat penyakit, mengurangkan simptom atau mengubahsuai proses kimia di dalam badan untuk tujuan-tujuan tertentu. Walau bagaimanapun, bukan semua bahan yang dimakan dianggap dadah. Misalnya, makanan yang dimakan secara normal tidak dianggap sebagai dadah melainkan makanan tersebut diambil khas untuk tujuan tertentu (contohnya, kafeina diambil sebagai perangsang).
Secara umumnya, dadah bermaksud sebarang bahan kimia yang psikoaktif, sama ada berbentuk asli atau tiruan, apabila dimasukkan ke dalam tubuh secara disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal atau mental.  


Teori

Beberapa teori dan pendapat telah diajukan untuk cuba menghuraikan bagaimana seseorang itu boleh menjadi penagih dadah, tetapi sehingga sekarang kita belum lagi pasti apa sebenarnya yang mendorong seseorang itu menjadi penagih. Penagihan berbanding dengan penyakit fizikal merupakan penyakit mental yang belum diketahui punca sebenarnya dengan tepat.

Teori Moralis

Ahli moralis bertanggapan bahawa penagih dadah sebagai penjahat, sampah masyarakat dan juga pengamal dosa yang akan masuk ke dalam neraka. Mereka berpendapat bahawa penagih ini perlu dihukum dengan hukuman yang berat seperti dipenjara dan dipaksa menceraikan isteri mereka. Ahli moralis tidak percaya bahawa penagih ini boleh dirawat dan mereka sekali-kali tidak percaya bahawa aspek saintifik dan perubatan dapat membantu merawat pesakit yang mengalami gangguan penagihan dadah.

Punca

Kurang Didikan agama daripada ibu bapa
Penagihan dadah ini berpunca daripada kurangnya didikan agama ibu bapa kepada anak-anak mereka sejak dari kecil lagi. Hal ini berlaku apabila seseorang yang kurang kekuatan iman menyebabkan mereka lebih mudah terpengaruh atau tergoda dengan godaan jahat.


Tekanan
Punca berlakunya penagihan dadah adalah tekanan daripada masalah yang dihadapi seperti masalah peribadi, keluarga dan kerja. Oleh hal yang demikian, apabila tekanan emosi berlaku secara keterlaluan, seseorang itu akan mengalami kemurungan sehingga tidak mampu berdepan dengan tekanan tersebut. Akhirnya, sebagai jalan penyelesaian, mereka mengambil jalan mudah dengan menjadikan dadah sebagai teman setia yang membolehkan mereka melupakan tekanan yang dihadapi. Contohnya, kesibukkan ibu bapa dengan kerja telah menyebabkan anak-anak terasa terasing dan jauh daripada ibu bapa. Oleh hal yang demikian, anak-anak akan melibatkan diri dalam penagihan dadah untuk mendapatkan perhatian daripada ibu bapa mereka.

Kurang Pengetahuan tentang Dadah

Seterusnya, punca berlaku penagihan dadah ialah kurangnya pengetahuan tentang dadah. Sebenarnya, masyarakat di negara kita tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang kesan negatif penggunaan dadah. Tanpa mereka sedari, dadah boleh menyebabkan pemikiran seseorang itu tidak waras dan gagal untuk membuat keputusan yang rasional dan juga mungkin akan membawa maut.


Pengaruh Rakan Sebaya
Punca lain berlakunya penagihan dadah ialah dipengaruhi oleh rakan sebaya. Hal ini demikan kerana, rakan merupakan orang terdekat dengan kita selepas keluarga. Penagihan dadah ini berlaku apabila seseorang itu kerap menghabiskan masa bersama dengan rakan sebaya berbanding dengan ahli keluarga mereka. Oleh hal yang demikian, individu tersebut akan mengikut dan melakukan perkara yang dilakukan oleh rakan mereka tanpa menyedari kesan buruk pengambilan dadah tersebut. Terdapat juga kes apabila seseorang itu tidak mengikut kata rakan sebaya, mereka akan disisihkan oleh rakan-rakan yang lain.

Kurang Didikan Agama

Selain itu, kurangnya didikan agama juga merupakan punca penagihan dadah berlaku. Mereka yang kurang didikan agama akan mudah terjerumus ke dalam kancah penagihan dadah. Hal ini demikian kerana, dengan adanya pegangan agama yang kuat seseorang itu akan sukar untuk melakukan sesuatu kesalahan. Punca kurangnya didikan agama juga akan menyebabkan mereka mengabaikan pantang larang dalam kehidupan iaitu dengan melakukan perbuatan salah seperti menagih dadah. 


Statistik
Berikut merupakan statistik penagihan dadah yang berlaku di Malaysia.

JUMLAH PENAGIH YANG DIKESAN MENGIKUT STATUS KES, 2010-2015
Tahun
Baru
Berulang
Jumlah
2010
17,238
6,404
23,642
2011
13,683
5,848
19,531
2012
10,301
4,800
15,101
2013
13,481
7,406
20,887
2014
13,605
8,172
21,777
2015
20,289
6,379
26,668

Nota:
                        i) Data yang dijana adalah menerusi sistem MyAADK dan merangkumi hukuman Seksyen 38B ADB 1952.
                       ii) Baru - Penagih yang dikesan kali pertama menjalani rawatan/pemulihan/pengawasan di AADK.
                      iii) Berulang - Penagih yang pernah dikesan menjalani rawatan/pemulihan/pengawasan di AADK sebelum ini.  
               
              Sumber rujukan :   http://www.adk.gov.my/web/guest/dadah
            
 
         Langkah yang berkesan untuk mencegah dan menangani isu
          Terdapat beberapa langkah yang berkesan kita perlu ambil untuk mencegah dan menangani isu ini iaitu yang pertama ialah ibu bapa haruslah menerangkan secara terperinci tentang bahaya penyalahgunaan ubat-ubatan, kepentingan dan cara pengambilan yang betul kepada anak-anak mereka. 

Selain itu, media massa juga harus memperbanyakkan penyiaran berita dan cerita-cerita yang membawa keinsafan dan iktibar kepada masyarakat mengenai kesan-kesan dadah terhadap kehidupan seharian.

         Kerajaan melalui badan-badan atau sektor-sektor tertentu, harus bijak membanteras gejala dadah dengan mengadakan program-program yang dapat menarik minat para belia untuk mengisi masa terluang bagi mengelakkan mereka terjebak dengan masalah penagihan dadah. Contohnya, Program Rakan Muda yang diselengarakan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

          Selain itu, kempen kesedaran haruslah diadakan oleh pihak kerajaan dan swasta dengan melibatkan kumpulan masyarakat yang sering menjadi sasaran mudah oleh para penjual dadah. Manakala ibu bapa haruslah menjadi contoh terbaik kepada anak-anak, serta sentiasa berbincang dengan anak-anak tenteng kesan-kesan buruk penyalahgunaan dadah.

        Seterusnya, pendidikan mengenai bahaya dadah oleh guru-guru di sekolah adalah penting untuk mengelakkan remaja daripada mudah terjerumus ke dalam kancah penagihan dadah. Masyarakat di negara ini juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti yang menyihatkan seperti bersukan dan beriadah agar dengan melakukan aktiviti tersebut, semua lapisan masyarakat dapat mengelak daripada mengambil dadah.

        Bukan itu sahaja, tindakan undang-undang juga hendaklah diperkasakan lagi dengan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pengedar dadah seperti penjara dan denda yang lebih berat mengikut Akta Racun 1952, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sebagainya.

          Kesimpulannya, pengambilan sesuatu ubat-ubatan atau bahan yang mempunyai kandungan dadah secara berlebihan boleh mengakibatkan penagihan dadah. Penagihan dadah yang berpunca daripada banyak faktor boleh mengakibatkan banyak masalah sosial berlaku. Oleh itu, semua pihak hendaklah berganding bahu dan mengatur strategi untuk mengatasi masalah ini yang juga dianggap sebagai musuh utama negara. Antaranya adalah pihak-pihak yang bertanggungjawab terutamanya pihak kerajaan hendaklah mengatur langkah untuk menangani masalah tersebut. Namun, masalah ini tidak akan berjaya sekiranya kita sebagai rakyat tidak mahu bekerjasama untuk membanteras masalah ini. Ibu bapa perlu memainkan peranan membimbing anak-anak mereka supaya menjauhi dadah. Kita perlu insaf bahawa masalah dadah boleh membebankan keluarga dan negara. Akhirnya, kita haruslah terus memerangi dadah agar masyarakat kita tidak menjadi lemah dan tidak terus dibayangi oleh dadah yang boleh merosakkan masa depan yang cerah. 

           Rujukan

ASLIE, A. M. (2009). JENAYAH. Selangor Darul Ehsan: ALAF 21 SDN. BHD.
Hussain Habil, Mustafa Ali Mohd. (2003). PENYALAHGUNAAN DADAH. Selangor Darul Ehsan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan . (1995). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
         Manaf, F. S. (2001). PENGENALAN KERJA SOSIAL. Selangor Darul Ehsan: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
MENCEGAH SALAH GUNA DADAH MELALUI KAUNSELING. (1983). KUALA LUMPUR: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA.
RAHIM, A. A. (2014). JENAYAH KANAK-KANAK DAN UNDANG-UNDANG MALAYSIA. Selangor Darul Ehsan: Dewan Bahasa dan Pustaka.



        

 





       





PEMBUANGAN BAYI.


Pembuangan bayi adalah perbuatan membuang atau menghapuskan anak-anak kecil yang tidak berdosa ke merata-rata tempat tanpa ada sifat belas kasihan dan sifat perikemanusiaan. Semakin hari, isu pembuangan bayi semakin banyak dilaporkan di dada-dada akhbar. Paling menyayat hati lagi, bayi yang tidak berdosa bukan sahaja dibuang malah dibakar. Kes pembuangan bayi ini semakin berleluasa sehingga melangkaui norma-norma masyarakat kemanusiaan.

Pada zaman abad ke 21 ini, semua negara membangun ke arah kemodenan. Begitu juga dengan negara Malaysia yang sedang pesat membangun. Namun begitu, isu-isu moral tetap juga berlaku di negara kita, termasuklah isu pembuangan bayi yang sememangnya hangat diperkatakan. Berikut merupakan statistik pembuangan bayi di Malaysia sekitar tahun 2004 sehingga tahun 2012:


Banyak faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku. Antaranya, kurang didikan dan kefahaman terhadap agama. Kurangnya didikan agama meyebabkan ramai remaja ataupun orang dewasa hilang haluan hidup dan seterusnya melibatkan diri dalam gejal-gejala yang tidak sihat seperti pergaulan bebas. Apabila pergaulan bebas terus dilakukan, hal ini menyebabkan ramai perempuan yang mengandung sebelum ada ikatan yang sah. Malah jika keadaan seperti itu berlaku, mereka yang hilang pegangan agama dan hidup tidak akan teragak-agak untuk meembuang bayi yang mereka lahirkan. Perbuatan ini adalah untuk menutup kesalahan mereka namun mereka tidak sedar bahawa mereka telah melakukan dosa dengan membunuh bayi yang baru dilahirkan itu.

Selain itu, pengaruh daripada rakan sebaya juga menjadi faktor pembuangan bayi. Rakan-rakan yang tidak baik akan memujuk rakannya yang lain untuk melakukan perkara yang tidak baik. Sebagai contoh, mempengaruhi rakan sebaya ke tempat hiburan, menghisap dadah dan melepak. Apabila remaja sudah terjebak dengan aktiviti seperti ini, mereka merasakan bahawa seks rambang itu sudah menjadi perkara biasa bagi mereka. Apabila mengandung dan takut dimarahi keluarga, mereka akhirnya akan mengambil keputusan untuk mengugurkan ataupun membuang bayi itu.

Seterusnya, pembuangan bayi juga berlaku apabila ibu bapa tidak ada kesedaran dalam merancang kehamilan. Hal ini berlaku apabila ibu bapa mengabaikan perancangan bagi bilangan anak yang mereka mahu. Mereka hanya melahirkan anak tanpa mengambil kira perancangan kewangan untuk anak-anak mereka. Jadi, ibu bapa yang tidak dapat menyara anak-anak mereka menjadi tidak bertanggungjawab dengan membuang bayi yang baru dilahirkan itu. Maka jelaslah bahawa ibu bapa yang tidak mempunyai kesedaran juga salah satu faktor pembuangan bayi ini.

Pembuangan bayi juga memberikan banyak kesan. Kesan yang pertama ialah kepada ibu itu sendiri. ibu yang membuang bayi tidak akan lari dari perasaan rasa bersalah. Setiap bayi yang lahir itu adalah dari ibu itu sendiri. Walaupun terdapat ibu bapa yang tidak bertanggungjawab, perasaan bersalah itu tetap akan ada dalam diri ibu-ibu. Banyak ibu-ibu yang menyesal kerana membuang bayi mereka dan dihantui dengan rasa bersalah dan berdosa sepanjang hidup mereka. Kadang-kadang, mereka boleh mendapat gangguan emosi dan mental disebabkan oleh perbuatan mereka itu.

Seterusnya, kesan kepada bayi itu sendiri. Bayi merupakan anugerah yang paling berharga bagi setiap ibu bapa. Namun, apabila ada manusia yang  tidak bertanggungjawab, maka bayi-bayi yang dibuang tidak sempat untuk mengenal dunia, apatah lagi merasa kasih sayang daripada ibu bapa. Bayi-bayi yang langsung tidak bersalah pula menjadi mangsa keadaan sehingga dibuang. Ledih teruk lagi, bayi- bayi itu dibuang di tempat-tempat yang terpencil dan jauh dari pandangan masyarakat.

Di samping itu, akibat daripada pembuangan bayi juga memberi kesan kepada masyarakat. Kes-kes pembuangan bayi yang banyak berlaku telah menjejaskan imej masyarakat sekeliling. Sudah pasti mereka juga malu dan kecewa dengan perkara ini. Walaupun tidak semuanya, golongan remeaja pasti akan dipersalahkan dalam kes ini kerana sebilangan besar yang terlibat dalam kes ini ialah golongan remaja. Masyarakat sekeliling pula menerima banyak kesan daripada perbuatan yang tidak bermoral ini. Secara tidak langsung, banyak persepsi orang luar yang tidak baik tentang masyarakat setempat.

Perbuatan membuang bayi memang satu jenayah yang zalim. Banyak kesan yang terjadi akibat daripada perbuatan ini. Bagi membendung gejala ini daripada terus berleluasa, langkah yang lebih berkesan perlu diambil supaya tidak ada lagi bayi-bayi yang tidak merasa kasih sayang daripada keluarga. Sebagai langkah yang pertama, peranan ibu bapa merupakan yang terpenting. Para ibu bapa perlu memberi perhatian yang sepenuhnya kepada anak-anak mereka terutamanya pada peringkat remaja. Sekiranya ibu bapa kurang atau tidak memberi perhatian kepada anak-anak mereka, anak-anak mereka itu akan mencari kasih sayang daripada orang lain. Mereka akan mencari kasih sayang daipada rakan-rakan kerana mempunyai umur yang sebaya. Maka, ibu bapa perlulah memainkan peranan dalam membentuk sahsiah diri anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan gejala sosial yang tidak sihat seperti pergaulan bebas, seks dan sebagainya.

Langkah yang kedua adalah melalui media massa. Pihak media massa perlu meningkatkan lagi usaha mereka untuk memberi pendedahan tentang kesan pembuangan bayi kepada masyarakat. Sebagai contoh, pendedahan melalui kisah benar tentang seseorang yang pernah membuang bayi dengan kebenaran orang itu. Perkara ini akan membangkitkan kesedaran kepada para remaja untuk tidak melakukan perbuatan membuang bayi itu. Pihak media massa juga boleh menayangkan atau mengeluarkan banyak iklan mengenai kesan pembuangan bayi melalui televisyen mahupun majalah dan surat khabar. Bukan itu sahaja, pihak media massa juga boleh menghentikan pengeluaran program-progran hiburan yang keterlaluan yang boleh merosakkan akhlak remaja seperti program hiburan yang mengandungi adegan-adegan yang lucah.

Sehubungan dengan itu, peranan pihak berkuasa juga boleh mencegah masalah ini daripada terus berlarutan. Pihak berkuasa boleh memperkasakan lagi penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada. Misalnya, pasangan yang berzina dikenakan hukuman yang setimpal seperti hukuman sebat. Hukuman yang setimpal perlu dilaksanakan supaya dapat memberi pengajaran kepada yang terlibat dan juga kepada masyarakat-masyarakat di luar sana. Jika perkara ini dilaksanakan, secara tidak langsung, kes pembuangan bayi dan masalah-masalah seperti keruntuhan akhlak remaja akan dapat dikurangkan.

Seterusnya, bantuan kepada ibu-ibu yang hamil luar nikah. Anak-anak yang hamil luar nikah mestilah dibantu bagi menjalani pemulihan semasa hamil dan juga membina kekuatan dalaman serta rohaniah. badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan masyarakat boleh dijadikan tempat rujukan bagi mereka yang mengandung anak luar nikah disamping untuk mendapat bimbingan dan perlindungan. Hal ini demikian kerana mereka masih perlu dibela dan perlu diberi peluang untuk meneruskan kehidupan. Hal ini juga penting bagi menjamin kesihatan si ibu dan juga anak yang akan dilahirkan. Sekiranya penjagaan yang rapi dibuat, gejala pembuangan bayi akan dapat dikurangkan walaupun tidak sepenuhnya.

Sebagai kesimpulannya, masalah pembuangan bayi memang semakin berleluasa pada masa kini. Apatah lagi dengan kecanggihan teknologi yang memudahkan semua lapisan masyarakat untuk mengakses apa-apa laman web. Kes pembuangan bayi ini pula memberi kesan yang banyak juga terutama kepada ibu dan anak itu sendiri. Namun begitu, terdapat juga langkah yang boleh dilakukan untuk mencegah masalah ini daripada terus berleluasa, Semua pihak perlu terlibat untuk menangani masalah ini, Justeru itu, kita perlu melihat kes ini ini secara rasional dan tidak membuat sebarang andaian tanpa mengetahui sebabnya dahulu. Oleh itu,bersama-samalah kita berganding bahu untuk menangani masalah ini sebelum perkara ini menjadi lebih teruk lagi,