Pada masa ini, kes remaja lari dari rumah kerap berlaku dan masalah ini bukan sahaja melibatkan remaja lelaki malah remaja perempuan daripada pelbagai kaum. Kes seperti ini jika dibiarkan akan membawa kesan buruk kepada negara dan masyarakat. Ibu bapa yang mempunyai anak yang masih remaja tentunya risau kalau-kalau masalah itu akan menimpa mereka. Maka, demi mengelakkan masalah ini berterusan, punca yang menyebabkan gejala ini haruslah dikenalpasti dan cuba untuk diatasi sedapat yang mungkin.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan statistik pada 2010 yang menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat sebanyak 4,097 remaja terbabit dengan kegiatan ini seawal usia 13 hingga 17 tahun. Difahamkan, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kebanyakan kes ini membabitkan remaja.
Selain itu, remaja berumur 14 hingga 17 tahun adalah golongan yang paling banyak dilaporkan hilang di negara ini. Remaja perempuan kaum Melayu pula mencatatkan statistik tertinggi hilang berbanding kaum lain, tetapi kelompok itu juga tersenarai dalam kadar tertinggi mangsa yang mudah dijumpai semula.
Berdasarkan statistik Jabatan Pengurusan, Cawangan Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, secara kiraan rawak, dua daripada tiga laporan kes orang hilang membabitkan wanita.
Punca-punca Remaja Lari Dari Rumah
Hubungan kekeluargaan yang kurang baik
Masyarakat kini lebih bersifat materialistik. Kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga tidak mempunyai masa yang cukup untuk diluangkan bersama anak-anak. Apabila pulang daripada bekerja, mereka sudah terlalu letih dan tidak dapat melayani karenah anak-anak mereka. Ini menyebabkan anak-anak berasa tidak dipedulikan malah ada diantara mereka yang tinggal di rumah tanpa pengawasan daripada ahli keluarga yang lebih tua. Lebih buruk lagi apabila ibu bapa sering menghadapi konflik dan anak pula dijadikan mangsa melepaskan geram. Akibatnya, anak tersebut lari daripada rumah dengan pendapat bahawa tindakan mereka itu boleh mendapatkan perhatian daripada ibu bapa mereka.
Pengaruh rakan sebaya
Golongan remaja lebih selesa dan lebih banyak bergaul dengan rakan sebaya berbanding dengan ibu bapa ataupun adik-beradik sendiri. Oleh itu, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap seseorang remaja. Jika seseorang remaja bergaul dengan rakan sebaya yang secara kebetulan telah lari dari rumah, kemungkinan besar dia juga akan menjejaki langkah rakannya itu. Kejadian ini berlaku apabila remaja berpendapat bahawa lari dari rumah dan tinggal sendirian adalah lebih bebas dan menyeronokkan tanpa pengawasan ibu bapa. Sesetengah remaja yang lari dari rumah juga adalah atas sebab menyahut cabaran rakan mereka untuk berbuat demikian demi mendapat pengiktirafan sebagai anggota kumpulan mereka.
Remaja terjebak dalam kes jenayah
Keterlibatan dalam sesuatu kes jenayah juga boleh mendorong seeorang remaja untuk lari dari rumah kerana malu dan takut diketahui oleh keluarga tentang kegiatan salah laku serius yang mereka terlibat. Misalnya gadis remaja yang suka berpelisiran mudah tertipu oleh pihak tertentu yang suka mengambil kesempatan seperti melibatkan gadis tersebut dalam kancah maksiat, iaitu pelacuran.
Lari dari rumah untuk mengikuti seseorang
Dunia remaja penuh dengan dan ramai remaja masa kini terlalu mengikuti perasaan mereka. Akibat perhubungan bebas antara lelaki dan perempuan, ramai antara mereka yang menjalani alam percintaan pada usia yang terlalu muda. Masalah akan timbul apabila mereka ingin berkahwin, tetapi tidak direstui oleh ibu bapa lalu merajuk dan mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Di samping itu, ada juga gadis yang lari dari rumah kerana terpengaruh dengan janji manis daripada pihak tertentu yang hanya ingin memperdayakan mereka.
Cadangan Menangani Isu Remaja Lari Dari Rumah
Ibu bapa meluangkan masa untuk anak-anak mereka
Anak-anak memerlukan perhatian penuh daripada ibu bapa memandangkan ibu bapa merupakan insan yang terdekat untuk membimbing anak-anak. Oleh itu, ibu bapa peru peka akan masalah yang dihadapi oleh anak mereka dan sentiasa bersedia untuk mendengar masalah yang dihadapi oleh anakk-anak mereka sendiri. Ini adalah untuk mengelakkan anak-anak mereka mencari tempat yang salah untuk meluahkan perasaan mereka apabila mereka dibelenggu oleh sesebuah masalah, tidak kira sekecil manapun masalah tersebut.
Menangani masalah sosial
Remaja lebih tertarik kepada media massa daripada menghadiri kelas-kelas atau persatuan untuk mendapatkan sesuatu info. Maka, pihak media massa perlu mengakses dan menapis segala rancangan yang hendak disiarkan. Contohnya adegan-adegan ganas dan berunsur lucah yang mempengaruhi minda remaja perlu dielakkan sama sekali. Oleh itu, pengaruh-pengaruh negatif dapat dihindari oleh para remaja daripada terpengaruh dan merosakkan minda. Para remaja perlu diterapkan nilai-nilai murni kerohanian baik agar tidak mudah terpesong ke arah kehidupan yang negatif. Ibu bapa turut harus peka akan isu gejala sosial yang berlaku di sekitar mereka dan berusaha untuk memastikan anak-anak mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah bagi mengelakkan keterlibatan mereka dalam kegiatan yang negatif.
Didikan Agama
Kesedaran dalaman perlu ada dalam diri ibubapa untuk mengatasi masalah sosial. Ibubapa perlu memainkan peranan yang aktif untuk memastikan anak-anak mereka mendapat didikan agama yang sempurna. Terdapat segelintir ibubapa yang beranggapan bahawa bidang kerohanian tidak penting. Ibubapa perlu menerapkan ajaran-ajaran agama sejak kecil lagi seperti mengajar ngaji, solat dan menerapkan sifat peribadi yang mulia. Oleh itu, agama yang sempurna perlu diberikan kepada anak-anak mereka agar dapat melahirkan remaja yang bermodal insaniah. Maka, ibubapa sendiri haruslah mempunyai pegangan agama yang kukuh untuk dijadikan contoh kepada anak-anak.
No comments:
Post a Comment