Tuesday, March 21, 2017


PEMBUANGAN BAYI.


Pembuangan bayi adalah perbuatan membuang atau menghapuskan anak-anak kecil yang tidak berdosa ke merata-rata tempat tanpa ada sifat belas kasihan dan sifat perikemanusiaan. Semakin hari, isu pembuangan bayi semakin banyak dilaporkan di dada-dada akhbar. Paling menyayat hati lagi, bayi yang tidak berdosa bukan sahaja dibuang malah dibakar. Kes pembuangan bayi ini semakin berleluasa sehingga melangkaui norma-norma masyarakat kemanusiaan.

Pada zaman abad ke 21 ini, semua negara membangun ke arah kemodenan. Begitu juga dengan negara Malaysia yang sedang pesat membangun. Namun begitu, isu-isu moral tetap juga berlaku di negara kita, termasuklah isu pembuangan bayi yang sememangnya hangat diperkatakan. Berikut merupakan statistik pembuangan bayi di Malaysia sekitar tahun 2004 sehingga tahun 2012:


Banyak faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku. Antaranya, kurang didikan dan kefahaman terhadap agama. Kurangnya didikan agama meyebabkan ramai remaja ataupun orang dewasa hilang haluan hidup dan seterusnya melibatkan diri dalam gejal-gejala yang tidak sihat seperti pergaulan bebas. Apabila pergaulan bebas terus dilakukan, hal ini menyebabkan ramai perempuan yang mengandung sebelum ada ikatan yang sah. Malah jika keadaan seperti itu berlaku, mereka yang hilang pegangan agama dan hidup tidak akan teragak-agak untuk meembuang bayi yang mereka lahirkan. Perbuatan ini adalah untuk menutup kesalahan mereka namun mereka tidak sedar bahawa mereka telah melakukan dosa dengan membunuh bayi yang baru dilahirkan itu.

Selain itu, pengaruh daripada rakan sebaya juga menjadi faktor pembuangan bayi. Rakan-rakan yang tidak baik akan memujuk rakannya yang lain untuk melakukan perkara yang tidak baik. Sebagai contoh, mempengaruhi rakan sebaya ke tempat hiburan, menghisap dadah dan melepak. Apabila remaja sudah terjebak dengan aktiviti seperti ini, mereka merasakan bahawa seks rambang itu sudah menjadi perkara biasa bagi mereka. Apabila mengandung dan takut dimarahi keluarga, mereka akhirnya akan mengambil keputusan untuk mengugurkan ataupun membuang bayi itu.

Seterusnya, pembuangan bayi juga berlaku apabila ibu bapa tidak ada kesedaran dalam merancang kehamilan. Hal ini berlaku apabila ibu bapa mengabaikan perancangan bagi bilangan anak yang mereka mahu. Mereka hanya melahirkan anak tanpa mengambil kira perancangan kewangan untuk anak-anak mereka. Jadi, ibu bapa yang tidak dapat menyara anak-anak mereka menjadi tidak bertanggungjawab dengan membuang bayi yang baru dilahirkan itu. Maka jelaslah bahawa ibu bapa yang tidak mempunyai kesedaran juga salah satu faktor pembuangan bayi ini.

Pembuangan bayi juga memberikan banyak kesan. Kesan yang pertama ialah kepada ibu itu sendiri. ibu yang membuang bayi tidak akan lari dari perasaan rasa bersalah. Setiap bayi yang lahir itu adalah dari ibu itu sendiri. Walaupun terdapat ibu bapa yang tidak bertanggungjawab, perasaan bersalah itu tetap akan ada dalam diri ibu-ibu. Banyak ibu-ibu yang menyesal kerana membuang bayi mereka dan dihantui dengan rasa bersalah dan berdosa sepanjang hidup mereka. Kadang-kadang, mereka boleh mendapat gangguan emosi dan mental disebabkan oleh perbuatan mereka itu.

Seterusnya, kesan kepada bayi itu sendiri. Bayi merupakan anugerah yang paling berharga bagi setiap ibu bapa. Namun, apabila ada manusia yang  tidak bertanggungjawab, maka bayi-bayi yang dibuang tidak sempat untuk mengenal dunia, apatah lagi merasa kasih sayang daripada ibu bapa. Bayi-bayi yang langsung tidak bersalah pula menjadi mangsa keadaan sehingga dibuang. Ledih teruk lagi, bayi- bayi itu dibuang di tempat-tempat yang terpencil dan jauh dari pandangan masyarakat.

Di samping itu, akibat daripada pembuangan bayi juga memberi kesan kepada masyarakat. Kes-kes pembuangan bayi yang banyak berlaku telah menjejaskan imej masyarakat sekeliling. Sudah pasti mereka juga malu dan kecewa dengan perkara ini. Walaupun tidak semuanya, golongan remeaja pasti akan dipersalahkan dalam kes ini kerana sebilangan besar yang terlibat dalam kes ini ialah golongan remaja. Masyarakat sekeliling pula menerima banyak kesan daripada perbuatan yang tidak bermoral ini. Secara tidak langsung, banyak persepsi orang luar yang tidak baik tentang masyarakat setempat.

Perbuatan membuang bayi memang satu jenayah yang zalim. Banyak kesan yang terjadi akibat daripada perbuatan ini. Bagi membendung gejala ini daripada terus berleluasa, langkah yang lebih berkesan perlu diambil supaya tidak ada lagi bayi-bayi yang tidak merasa kasih sayang daripada keluarga. Sebagai langkah yang pertama, peranan ibu bapa merupakan yang terpenting. Para ibu bapa perlu memberi perhatian yang sepenuhnya kepada anak-anak mereka terutamanya pada peringkat remaja. Sekiranya ibu bapa kurang atau tidak memberi perhatian kepada anak-anak mereka, anak-anak mereka itu akan mencari kasih sayang daripada orang lain. Mereka akan mencari kasih sayang daipada rakan-rakan kerana mempunyai umur yang sebaya. Maka, ibu bapa perlulah memainkan peranan dalam membentuk sahsiah diri anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan gejala sosial yang tidak sihat seperti pergaulan bebas, seks dan sebagainya.

Langkah yang kedua adalah melalui media massa. Pihak media massa perlu meningkatkan lagi usaha mereka untuk memberi pendedahan tentang kesan pembuangan bayi kepada masyarakat. Sebagai contoh, pendedahan melalui kisah benar tentang seseorang yang pernah membuang bayi dengan kebenaran orang itu. Perkara ini akan membangkitkan kesedaran kepada para remaja untuk tidak melakukan perbuatan membuang bayi itu. Pihak media massa juga boleh menayangkan atau mengeluarkan banyak iklan mengenai kesan pembuangan bayi melalui televisyen mahupun majalah dan surat khabar. Bukan itu sahaja, pihak media massa juga boleh menghentikan pengeluaran program-progran hiburan yang keterlaluan yang boleh merosakkan akhlak remaja seperti program hiburan yang mengandungi adegan-adegan yang lucah.

Sehubungan dengan itu, peranan pihak berkuasa juga boleh mencegah masalah ini daripada terus berlarutan. Pihak berkuasa boleh memperkasakan lagi penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada. Misalnya, pasangan yang berzina dikenakan hukuman yang setimpal seperti hukuman sebat. Hukuman yang setimpal perlu dilaksanakan supaya dapat memberi pengajaran kepada yang terlibat dan juga kepada masyarakat-masyarakat di luar sana. Jika perkara ini dilaksanakan, secara tidak langsung, kes pembuangan bayi dan masalah-masalah seperti keruntuhan akhlak remaja akan dapat dikurangkan.

Seterusnya, bantuan kepada ibu-ibu yang hamil luar nikah. Anak-anak yang hamil luar nikah mestilah dibantu bagi menjalani pemulihan semasa hamil dan juga membina kekuatan dalaman serta rohaniah. badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan masyarakat boleh dijadikan tempat rujukan bagi mereka yang mengandung anak luar nikah disamping untuk mendapat bimbingan dan perlindungan. Hal ini demikian kerana mereka masih perlu dibela dan perlu diberi peluang untuk meneruskan kehidupan. Hal ini juga penting bagi menjamin kesihatan si ibu dan juga anak yang akan dilahirkan. Sekiranya penjagaan yang rapi dibuat, gejala pembuangan bayi akan dapat dikurangkan walaupun tidak sepenuhnya.

Sebagai kesimpulannya, masalah pembuangan bayi memang semakin berleluasa pada masa kini. Apatah lagi dengan kecanggihan teknologi yang memudahkan semua lapisan masyarakat untuk mengakses apa-apa laman web. Kes pembuangan bayi ini pula memberi kesan yang banyak juga terutama kepada ibu dan anak itu sendiri. Namun begitu, terdapat juga langkah yang boleh dilakukan untuk mencegah masalah ini daripada terus berleluasa, Semua pihak perlu terlibat untuk menangani masalah ini, Justeru itu, kita perlu melihat kes ini ini secara rasional dan tidak membuat sebarang andaian tanpa mengetahui sebabnya dahulu. Oleh itu,bersama-samalah kita berganding bahu untuk menangani masalah ini sebelum perkara ini menjadi lebih teruk lagi,








No comments:

Post a Comment