Sunday, March 26, 2017

KEGANASAN RUMAH TANGGA


          Keganasan Rumah Tangga pada umumnya membawa maksud apa sahaja perbuatan yang mengakibatkan kesengsaraan ataupun penderitaan secara fizikal, seksual dan/atau psikologi. Hal ini termasuklah ancaman atau ugutan untuk melakukan paksaan dan rampasan kebebasan dalam kehidupan berumah tangga.


Biasanya, isu keganasan dalam rumah tangga melibatkan wanita sebagai sebagai mangsa keganasan. Bagi sesetengah masyarakat, kejadian keganasan rumah tangga terhadap suami atau kaum lelaki adalah perkara yang terlalu asing. Ini adalah kerana jarang-jarang didengar atau dilaporkan di media massa bahawa seorang suami telah didera  oleh isteri meraka. Penderaan terhadap suami juga dianggap bahan jenaka jka diperkatakan secara umum.

 Apabila melihat kepada kes kejadian penderaan terhadap suami di Malaysia, jumlah kes penderaan terhadap suami yang dilaporkan adalah dalam bilangan yang kecil. Ini tidak bermakna isu bekenaan tidak serius. Umumnya, penderaaan terhadap suami merupakan sama seperti penderaan terhadap isteri. Ini membawa maksud bahawa, seseorang suami itu dikatakan telah didera jika isteri mengenakan kecedaarn fizikal, psikologi atau seksual pada dirinya.
Bentuk-bentuk Keganasan Rumah Tangga adalah dari segi:

Fizikal
Memukul, menumbuk, menampar, menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang, membaling barang dan menggunakan senjata. Menghalang keperluan manusia seperti makan, minum dan tidur juga satu bentuk penderaan fizikal.

Psikologi
Perbuatan yang menyebabkan penderaan psikologi yang termasuklah kecederaan emosi kepada mangsa dan menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan. Ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah seseorang boleh membahayakan nilai harga diri dan perasaan serta keupayaan mangsa mengawal kehidupan sendiri juga merupakan penderaan psikologi.

Seksual
Memaksa melakukan atau melihat sesuatu berbentuk seksual tanpa kemahuan.

Ekonomi
Seorang yang dihalang daripada mencari pekerjaan atau yang tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri sebenarnya menghadapi penderaan daripada aspek kewangan.

Mangsa keganasan rumah tangga biasanya terdiri daripada orang-orang  yang telah dewasa dan  dianggap sudah mampu menilai secara kritikal untuk membuat keputusan dalam hidupnya. Tambahan pula, dari sudut psikologi mangsa keganasan rumah tangga akan menjadi lebih tertekan apabila wujud pihak yang melaporkan kejadian yang berlaku ke atasnya tanpa pengetahuannya.

Keganasan rumah tangga adalah berbeza daripada kes penderaan kanak-kanak kerana mangsa penderaan kanak-kanak ialah golongan yang masih tidak mampu berfikir secara kritikal untuk membuat keputusan dan mereka kurang arif tentang perilaku jenayah.

TEORI KITARAN KEGANASAN RUMAH TANGGA



Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah keganasan rumah tangga di seluruh negara yang dilaporkan dari Januari hingga April 2015 adalah sebanyak 1,644 kes (dipetik dari Borneo Post Online, Arkib 16 Jun 2015). Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa negara kita tidak terkecuali dalam isu ini. Berikut adalah punca berlakunya kes ini:

PUNCA ISU KEGANASAN RUMAH TANGGA

1. Keengganan membuat laporan.
Mangsa tidak melaporkan kes keganasan yang berlaku atas alasan sayang akan rumah tangga,
takut dan risau akan kesan terhadap anak-anak. Bagi masyarakat sekeliling pula, mereka tidak 
mahu masuk campur dan menganggap bahawa hal tersebut merupakan urusan peribadi keluarga 
masing-masing.

2. Sikap panas baran yang melampau
Isteri/suami mudah panas baran manakala suami/isteri pula tidak dapat memenuhi kemahuan
pasangan. Keegoan yang tinggi ini menyebabkan isteri/suami sering memandang rendah terhadap
pasangan mereka dan mudah mengamuk apabila tidak mampu memiliki apa yang dilihat dan
dimiliki oleh orang lain.

3. Hubungan rumah tangga yang kurang bahagia
Hubungan dan persefahaman diantara suami dan isteri yang kurang turut menyebabkan isu
keganasan ini, apatah lagi wujudnya isu cinta tiga segi, cemburu buta dan menerima hasutan
daripada orang ketiga. Selain itu, isu ini mudah tercetus sekiranya rumah tangga yang dibina
adalah atas dasar kahwin paksa semata-mata, iaitu perkahwinan yang bukan berdasarkan agama
dan kasih sayang.

4. Masalah individu yang mengalami tekanan dalam hidupnya
Keadaan ekonomi pada masa kini yang sering berubah-ubah menyebabkan kebanyakan keluarga
mengalami kesempitan wang. Kesukaran ahli keluarga untuk mencari pekerjaan demi menanggung
keperluan kewangan turut menyebabkan tekanan yang melampau. Akibatnya, keluarga ini
mengalami kesukaran dalam memenuhi kedua-dua keperluan dan kemahuan bagi setiap ahli
keluarga.

5. Gaya hidup tidak sihat si suami / isteri
Pasangan hidup yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral seperti judi, penagihan dadah, kekasih
gelap dan pelacuran akan hilang pertimbangan sebagai akibat daripada kegiatan negatif terssebut.
Misalnya, pasangan menjadi mabuk lalu bertindak memukul isteri, suami ataupun isi rumah yang
lain.

CADANGAN MENANGANI ISU KEGANASAN RUMAH TANGGA

1) Mendapatkan khidmat nasihat
Mangsa keganasan rumah tangga boleh menghubungi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW Unit
Kaunseling) untuk mendapatkan khidmat nasihat. Selain itu, mangsa-mangsa ini juga boleh
mendapatkan bantuan daripada orang ketiga dalam kalangan keluarga seperti ibu bapa. Hal ini
kerana orang lain tidak mungkin akan dapat membantu mangsa sekiranya mangsa memilih untuk
memendam rasa dan berdiam diri.

2) Bertindak menyelamatkan diri
Mangsa harus menyelamatkan diri secepat mungkin apabila masalah rumah tangga yang dialami
menjadi semakin serius seperti berlaku kecederaan. Mangsa perlu mendapatkan bantuan rawatan
perubatan di Jabatan Kecemasan dan Kemalangan di hospital-hospital kerajaan. Seterusnya,
mangsa perlu melaporkan kes keganasan di balai polis untuk mendapatkan nombor laporan polis,
lalu membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan Perintah
Pelindungan Interim (IPO). IPO berkuatkuasaa untuk melindungi mangsa-mangsa seperti ini.

3) Memastikan seisi keluarga mengamalkan gaya hidup yang sihat
Suami dan isteri pada asasnya perlu memastikan diri dan pasangan masing-masing tidak terlibat
dalam perjudian, pengambilan dadah dan sebagainya untuk memastikan keluarga yang sihat dan
bahagia bersama-sama. Oleh itu, suami dan isteri sebagai ibu bapa perlu saling mendorong untuk
menjaga kesihatan diri dan anak-anak yang bakal ditimang.

CADANGAN MENCEGAH ISU KEGANASAN RUMAH TANGGA

1) Memilih isteri / suami yang tepat
Seseorang itu haruslah berfikir dengan semasak-masaknya sebelum memilih pasangan hidup
mereka. Hal ini demikian kerana pasangan hidup adalah orang yang akan menemani kita untuk
menjalani kehidupan sehingga ke hari tua. Kita bebas memilih pasangan hidup kita masing-
masing, maka kita harus memilih berdasarkan kualiti-kualiti yang baik yang ada pada seseorang, 
bukan sekadar menilai dari segi paras rupa ataupun kebendaan yang dimilikinya. 

2) Berbincang dengan bakal pasangan hidup
Pasangan yang ingin berumah tangga hendaklah melakukan perancangan yang rapi dari segi
pelaksanaan tugas dan tanggungjawab secara adil, misalnya dari segi pengurusan kewangan
keluarga dan keperluan rumah tangga yang harus dipennuhi. Pasangan ini juga harus sedia untuk
berkorban bersama untuk membesarkan anak-anak mereka. Sekiranya terdapat masalah yang
dihadapi, kedua-dua pasangan haruslah bijak untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian
bagi sesuatu masalah tersebut.

No comments:

Post a Comment